Pemuda
UMNO mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan melampau
dan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis –
Oleh Baba Haizal Baba Zain
Kuala Lumpur -- Pemuda UMNO hari ini mengutuk
sekeras-kerasnya tindakan melampau dan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis
terhadap rakyat Palestin . Perbuatan terkutuk ini
merupakan tindakan di luar batas –batas kemanusiaan bertamadun dan
mencabul nilai kemanusiaan sejagat .
Menurut
Datuk Hishamuddin “ Ariel Sharon telah memainkan peranan yang sangat jelek
dalam holocaust ini. Sharon merupakan Perdana Menteri Israel paling biadap dalam
sejarah Israel dan dunia mengenali Sharon sebagai
penyembelih rakyat Palestin”
Kutukan
yang merupakan salah satu dari tujuh ketetapan yang terdapat dalam memorandum
sempena Perhimpunan Perpaduan untuk Palestin pada 5 April yang diadakan di
dataran bersebelahan Menara Dato’ Onn di PWTC itu diserahkan kepada Menteri
Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar sebagai simbol bantahan seluruh rakyat negara
ini terhadap kekejaman rejim Zionis itu.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Hishamuddin Tun Hussein ketika ditemui
selepas perhimpunan berkata memorandum yang diserahkan itu penting sebagai bukti
pendirian rakyat negara ini terhadap apa yang berlaku ke atas rakyat Palestin.
“Memorandum ini penting sebagai menyatakan pendirian rakyat Malaysia ke atas
kekejaman yang dilakukan oleh Israel.
“Kita berharap pihak-pihak berkenaan yang terlibat dengan isu Palestin ini
telah jelas dengan apa yang cuba disuarakan oleh rakyat negara ini melalui
perhimpunan yang telah diadakan,” katanya.
Jelas Hishamuddin, di dalam usaha menggesa kekejaman rejim Zionis itu ditamatkan
pergerakan itu akan menggunakan apa sahaja saluran bagi memastikan suara
bantahan dapat didengari.
“Selain dari memorandum yang telah disampaikan kepada Menteri Luar, kita akan
gunakan mana-mana saluran yang boleh mendengar bantahan kita.
“Samada ianya OIC mahupun PBB, yang penting kita dapat membantu menggerakkan
usaha-usaha menamatkan penderitaan yang ditanggung rakyat Palestin,” katanya.
Hishamuddin yang kesal dengan apa yang berlaku berkata usaha-usaha menyemarakkan
semangat rakyat Malaysia agar turut berkongsi penderitaan dialami rakyat
Palestin hendaklah ditingkatkan.
“Masyarakat Islam dan rakyat keseluruhannya yang selama ini berada dalam
keadaan selesa di dalam negara yang terhindar dari sebarang kacau bilau
hendaklah peka dan prihatin terhadap kesengsaraan dialami oleh umat Islam
Palestin yang kini berhadapan dengan keadaan yang tertekan,” katanya.
Sementara itu Hishamuddin turut menegaskan Pemuda UMNO seluruh negara akan
digerakkan bagi menjayakan kempen mengisi tabung membantu meringankan beban
penderitaan rakyat Palestin yang dilancarkan oleh Kementerian Luar Negeri dengan
kerjasama Wisma Putra baru-baru ini.
“Sempena perhimpunan agung UMNO bahagian yang akan berlangsung saya mengambil
kesempatan menyeru agar setiap bahagian yang akan bermesyuarat dan bersidang
untuk mengisi dan memenuhkan tabung yang telah dilancarkan,” katanya.
Majlis Perhimpunan Perpaduan untuk Rakyat Palestin yang bermula jam 4 petang
menyaksikan kehadiran Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar, Menteri Besar
Selangor Datuk Seri Khir Toyo, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam serta
Setiausaha Barisan Nasional Tan Sri Mohamad Rahmat yang masing—masing berucap
disamping menyampaikan sajak dengan tema penderitaan rakyat Palestin.
Majlis yang direncanakan dalam jangka masa singkat dan berjaya menarik
penyertaan hampir 3000 orang dari pelbagai kaum itu turut dihadiri oleh Duta
Palestin ke Malaysia Ahmad Al Farra, aktivis politik Datuk Lee Lam Thye serta
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Datuk Suhaimi Ibrahim.